Renungan Bersama

Renungan Bersama

"Jaga diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka"

"Janganlah kamu meninggalkan solat sekali kerana kamu akan meninggalkannya banyak kali, jangan kamu melakukan kejahatan sekali kerana kamu akan melakukannya banyak kali"

"Mulakan perubahan yang kecil, bermula dalam diri kamu sendiri dan berubahlah mulai sekarang"

"Perbetulkan setiap niat atas pekerjaan/perbuatan yang kita lakukan hanya kerana Allah"

"Orang yang baik adalah orang yang baik agamanya iaitu menunaikan solat 5 waktu dan orang yang baik akhlaknya"

Thursday, November 25, 2010

Amalan-amalan yang boleh dilakukan dalam proses tarbiah anak-anak mengikut peringkat usia

Peringkat Awal Anak-anak (Sejak Lahir Hingga 7 Tahun)

1.      Sentiasa mengajar anak menyebut kalimah ‘La Ilaha Illallah’ sepertimana diajari Rasulullah SAW, Ibnu Abbas r.a telah meriwayatkan, bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda:

“Mulakanlah ke atas anak-anakmu kalimat yang pertama dengan ‘Lailahaillallah’ dan talkinkan mereka ketika maut ‘Lailahaillallah’. – (Al-Hakim)

2.      Memperdengarkan selalu anak-anak dengan nama Allah SWT dan rasul melalui cara berhibur dan menyanyi seperti nasyid Asmaul Husna, dua kalimah syahadah, 25 Rasul dan sebagainya.

3.      Sentiasa bergurau mesra dan bermain-main dengan anak-anak, sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

4.      Mengajar beberapa doa daripada potongan ayat-ayat al-Quran dan hadis seperti doa makan, doa naik kenderaan dan doa tidur supaya dapat dijadikan amalan sehariannya.

5.      Menghidupkan budaya dan suasana Islam di dalam rumah. Sentiasa membudayakan pembacaan al-Quran seperti tadarus di hujung minggu atau menghidupkan budaya salam. Ini disebabkan anak-anak melihat dan akan mengikut apa yang berlaku di sekelilingnya. Oleh itu jiwa dan setiap pancaindera anak-anak harus sentiasa terdidik dengan disirami dan dibajai Nur dan roh Islami. Begitu juga dengan membiasakan mereka membaca surah-surah al-Quran yang mempunya banyak kelebihan dan fadilat sepertimana athar yang sahih. Contohnya surah al-Mulk di mana kelebihan membaca surah ini dapat melindungi orang yang mengamalkannya daripada azab dan siksa kubur. Abdullah Bin Abbas r.a pernah berkata pada seorang lelaki;

“Adakah kamu ingin jika aku hadiahkan sebuah hadis yang menggembirakan kamu?” Jawab pemuda tersebut, “Semestinya!” Maka Ibn Abbas berkata, “Bacalah dan ajarlah ia kepada isterimu, sekelian anak-anakmu, kanak-kanak di rumahmu dan jiran tetanggamu. Sesungguhnya ia adalah penyelamat dan pembela bagi kamu.” (HR Al-Hakim)
 
Peringkat Pertengahan (7 Tahun Hingga 12 Tahun)


1.      Mula mengajar mengenai hukum-hakam Islam, seperti menyuruh solat dan berpuasa. Dari Abdullah Bin ‘Amr, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Suruhlah anak kamu mengerjakan solat apabila ia telah berumur 7 tahun dan pukullah mereka jika enggan mengerjakan solat, sedangkan mereka telah berumur 10 tahun,” (Hadis Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Al-Hakim)
   2.      Menggalakkan anak-anak menghafal ayat-ayat al-Quran dan beberapa petikan hadis.


Peringkat Remaja (13 Tahun hingga 18 Tahun)

1.      Ibu bapa mestilah lebih prihatin terhadap segala gerak geri anak-anak. Di tahap ini anak-anak sudah mula mengenal dunia luar yang penuh dengan cabaran.

2.      Meluangkan masa bersama anak-anak mengadakan majlis ilmu bagi membincangkan ilmu seperti ilmu tafsir dan fekah. Dengan menyerapkan serba sedikit ilmu yang mereka pelajari di sekolah seperti ilmu Sains dan Matematik, agar mereka tahu bahawa setiap ilmu akademik yang mereka pelajari itu mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan ilmu yang diajarkan di dalam al-Quran dan sunah.

3.      Menggalakkan anak melakukan senaman atau riadah agar dapat menbina fizikal yang sihat di samping menjadikan otak yang cerdas. Seperti kata pepatah Arab, “Akal yang cerdas datang dari badan yang sihat.” Oleh itu, anak-anak perlu digalakkan menyertai aktiviti lasak seperti sukan berenang dan memanah, sepertimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Sabdanya yang bermaksud, “Ajarlah anakmu berenang dan memanah.” – (Hadis Riwayat Dailami). Tambahan pula, Islam sangat mencintai hambanya yang kuat berbanding yang lemah, sperti sabda nabi lagi yang bermaksud, “Orang Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah.” – (Riwayat Muslim). Di samping itu, mukmin yang kuat sekali gus dapat memantapkan ummah kerana mempu menakutkan musuh Islam andai di medan perang. Sebagaimana firmn Allah SWT yabg bermaksud, “Dan sedialah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia untuk menggerunkan. Dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” – (Al-Anfaal: 60)

4.      Menanam dalam diri anak-anak agar mempunyai wawasan dan cita-cita tinggi. Sepertimana Allah SWT telah menyatakan di dalam al-Quran bahawa manusia adalah sebaik-baik makhluk yang diciptakan. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” – ( Ali-Imran: 110). Firman Allah SWT lagi, “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).” – (At-Tiin: 4). Oleh itu, janganlah keistimewaan ini disia-siakan begitu sahaja.

Dipetik dari buku “Hadirnya Permata Hatiku: Pedoman Membina Keluarga Bahagia”, terbitan Must Read Sdn. Bhd.

Sumber : Facebook Adie Iskandar